Pahlawan Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara

Mampu Mententeram Pergolakan Politik Dunia Melayu Di Johor, Negeri Sembilan(Linggi), Kedah, Selangor, Terengganu dan Kalimantan Di Abad Yang Ke 18.

Mustafa Bin Yusof. Skudai. Johor – ( Pencarian Sejarah Johol )

Sejarah Eropah dalam abad ke 18 mempunyai Rothschild Lima Bersaudara yang berpengaruh dalam arena perbankan, Sejarah Alam Melayu pula mempunyai “Lima Putera Bugis Bersaudara” yang lebih berpengaruh dalam arena sosio-politik. Pengaruh dan legasi politik mereka menjadikan mereka dan keturunan mereka sebagai satu kuasa de facto yang berpengaruh di Alam Melayu di awal abad ke 18.

Orang orang Bugis kebanyakan berasal dari Makassar Sulawasi. Belanda telah berjaya menakluki negeri Bugis (Makassar) pada 18 November 1667 dan mengamalkan menopoli perdagangan menyebabkan ramai orang bugis keluar meninggalkan negara antaranya berhijrah di negeri negeri melayu. Mereka sering menjadi askar upahan kepada sultan negeri melayu. Dasar memonopili Belanda kemudiannya meliputi juga di Selat Melaka di mana kapal kapal yang melalui selat melaka perlu mendapatkan Pass laluan. Belanda juga membuat perjanjian dengan Raja raja Melayu supaya menghantar hasil bijih timah ke Melaka dan Belanda akan membelinya dengan harga yang murah. Dasar inilah menjadi punca bangsa bugis di anggap sebagai lanun kerana mereka sering menyerang kapal kapal Belanda dan Inggeris bagi merampas kembali hak, khazanah dan hasil negara yang dirampas.

Bugis yang berhijrah dari Sulawasi adalah terdiri daripada gabungan suku to’gi (Bugis) dan to Mengkasara (Makassar). Gabungan kedua suku ini kemudiannya dipanggil Bugis. Mereka mempunyai nilai budaya yang sangat tinggi dikenali “siri” yang terbahagi kepada tiga iaitu,

1. Siri Emmi Ri Onroang Ri Lino – bermaksud sesorang itu akan bererti hidupnya jika dia mempunyai harga diri.
2. Mate ri sirina – Jika seseorang itu mati dalam menegakkan martabat diri maka ia dianggap sutu hal yang terpuji
3. Mate siri – iaitu orang yang telah hilang martabat atau harga diri dianggap sebagai mayat hidup

Bugis juga mengamalkan 3 prinsip ‘hujung’ iaitu hujung keris, hujung lidah dan hujung anu. sifat orang Bugis itu sendiri yang sentiasa bersemangat, cerdik, agresif dalam tindakan, merupakan pelaut yang mahir serta berbakat dalam hal-hal pertempuran

Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara telah memain peranan penting dalam pergolakan politik di negeri-negeri Melayu pada abad ke-18. Negeri negeri melayu yang menerima secara langsung kehadiran Opu Bugis Lima Bersaudara ialah Kalimantan, Johor, Selangor, Kedah, Linggi dan Perak
Opu Bugis Lima Bersaudara adalah putera Daeng Opu Tendribureng Rilaga @ Relakkek (Ayah) + Puteri We Tenrilallo Arung Liu(Ibu) dikatakan Keturuna Raja Bugis pertama memeluk Islam, merupakan kerabat diraja Bugis-Luwu di Sulawesi Selatan. Lima Bersaudara terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Marewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Mereka bersama-sama ayah mereka Daeng Rilekkek berlayar ke seluruh Kepulauan Nusantara dari To Pammana ke Boneh(bone) di Selawasi – Pulau Jawa bertemu adiknya Opu Daeng Biyasa (memegang jawatan tertinggi semasa jajahan Belanda). Daeng Biyasa memberikan bantuan modal, perahu dan segala perlengkapan untuk berniaga. Maka berangkatlah Opu Daeng Ri Lakke beserta 5 Opu Daeng, ke Siantan di tengah laut China Selatan dan menjalankan perdagangan bersama sama Nakhoda Alang. Mereka sering diserang lanun namum mereka dapat mengalahkannya. Kehebatan mereka akhirnya tersebar luas di seluruh Semenanjung Melayu, Sumetera dan Kalimantan. Daeng Parani anak yang sulong telah berkahwin dengan anak Nakhoda Alang dan dikurniakan anak Daeng Komboja (Yang DiPertuan Muda 3).
Mereka kemudian belayar ke Kemboja (Kampuchea or Champa). Semasa di Komboja mereka telah memenangi laga Ayam dengan anak Raja Minangkabau (Raja Chulan) dan berjaya dan di hadiah satu Keci (kapal besar). Kemudian mereka belayar balik ke Siantan dan Daeng Rilaga mati dalam perlayaran.semasa ke kepulauan Siantan, Keci dipecahkan dan kayunya dijadikan 6 buah kapal perang dilengkapi meriam dan boleh di muati 40 orang. Semasa keberadaan mereka di Siantan, Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara telah menerima jemputan Sultan Sulaiman di johor yang sedang bergolak merebut tahta. Sebelum ke Johor Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara menerima jemputan Kerajaan Matan Kalimantan (Indapura).

Kalimantan

Kerajaan Matan (Indapura) menghadapi konflik dalaman antara Sultan Muhammad Zainuddin dengan adiknya Pengiran Agong. Sultan Zainuddin lari ke Banjar dan merancang dengan Sultan Tahmidullah Sultan Banjar untuk menyerang balik adiknya Pengiran Agong. Sultan Zainuddin juga telah mengutus surat memohon pertolongan kepada Opu Daeng Menambun yang pada masa itu berada di Siantan. Sultan Zainuddin melakukan serangan terhadap Pangiran Agong dan gagal menyebabkan askarnya berundur dan dia lari berlindung ke dalam Masjid dan dikurung di dalam masjid selama lebih kurang 5 bulan. Beliau berjaya dilepaskan dengan pertolongan Opu Daeng Menambun beserta adik beradiknya. Sultan Zainuddin di bawa semula ke Banjar bertemu Sultan Tahmidullah yang juga dalam usaha untuk menyelamatkan Sultan Zainuddin. Akhirnya Sultan Zainuddin dan keluarga dan pengikut2nya kembali ke Matan diikut sama Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara. Apabila sampai Kuala Kandang Kerbau dibawah kerajaan Matan, Sultan Zainuddin ingin membalas jasa Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara iaitu dengan menawarkan anaknya Puteri Kesumba untuk dikahwinkan dengan salah seorang dari lima bersaudara. Daeng Menambun dikahwinkan dengan puterinya Puteri Kasuma. Dengan bantuan Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara telah berjaya menangkap Pengiran Agong dan dikurung didalam satu kota yang dibina tanpa mempunyai pintu keluar bersama sama tiga puloh orang perempuan. Sekali lagi Sultan Zainuddin ingin membalas jasa Opu Daeng bersaudara dengan menawarkan jajahan baginda tetapi ditolak oleh mereka kerana mereka ingin segera ke Kerajaan Johor kerana Tengku Sulaiman perlukan pertolongan dari Mereka

Kemudian Sultan Umar Akamuddin 1 Sultan Kerajaan Sambas pula menjemput kelima mereka terutamanya Daeng Menambun untuk dikahwinkan dengan Puterinya Raden Tengah. Bagaimana pun Daeng Menambun menolak kerana telah beristeri dan mencadangkan adik bongsunya Daeng Kamasi dan dipersetujui semua. Dalam tahun 1737 Daeng Menambun ditabalkan oleh Sultan Zainuddin (Matan) sebagai Raja di Mempawah dengan gelaran Pangiran Emas Seri Negara.

Johor;

Tengku Sulaiman telah menjemput Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara ke Johor Riau bagi membantunya untuk menyinkirkan Raja Kechil yang mengambil alih tanpuk pemerintahan keturunannya. Kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dibunuh oleh Megat Seri Rama pada 3 Sept 1699, tanpa pewaris terdekat menyebabkan pembesar Johor melantik Bendahara Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor(1699-1718). Kesan lantikan, Johor bergolak dan ujudnya suasana saling curiga-mencurigai. Dikesempatan ini Raja Kechil yang mengaku sebagai Putera Sultan Mahmud Mangkat Dijulang telah mengambil alih pemerentahan Johor (1718-1722). Kejayaan Raja Kechil disebabkan oleh beberapa faktor antaranya dapat bantuan dari keturunan Minangkabau dari daerah2 dipersisiran laut jajahan Johor seperti daerah2 di Negeri Sembilan, kedua belot dari Laksamana dan orang dalam dikalangan Orang Kaya dan ketiga Raja Kechil ingin membalas dendam kepada Raja Muda yang menjadikan wanita Minangkabau sebagai Gundik dan hamba yang mana menghina masyarakat matrilineal Minangkabau yang sangat2 menjaga kehormatan wanita. Ini kerana Raja Kachil dibawa oleh Nakhoda Malim dan dipelihara oleh Puteri Jamilan di Pagar Ruyung.
Sultan Tun Abdul Jalil yg tewas telah dilantik semula sebagai oleh Raja Kechil sebagai Bendahara. Raja Kechil bertunang dengan Tengku Tengan anak Sultan Tun Abdul Jalil sebagai usaha Raja Kechil cuba untuk merapatkan persaudaraan tetapi bila bertemu adik Tengku Tengah (Tengku Kamariah) maka Raja Kechil terpikat dan terus mengawininya. Ini seolah olah mencorengkan lagi muka keturunan Sultan Tun Abdul Jalil. Kemuncak segala polimik ini ialah Raja Kechil dan tenteranya telah mengejar Sultan Abd Jalil dan membunuhnya selepas ia selesai solat subuh di Kuala Pahang (1720). Oleh itu anak2 Sultan Abd Jalil, Tungku Sulaiman dan kakaknya Tengku Tengah meminta bantuan Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara
Akhirnya berlaku peperangan antara Raja Kechil dengan Opu Daeng bersaudara Setelah bertempur sehari semalam, Raja Kecil terdesak dan mundur hingga berpangkalan di Pulau Bayan. Sementara itu, orang Bugis menyerang terus sambil berpangkalan di Tanjung Pinang. 5 Opu Daeng merebut Pulau Bayan setelah bertempur lagi dua hari dua malam dan Raja Kecil melarikan diri ke Linggi dengan membawa keseluruhan Alat Kebesaran Kesultanan Melayu Johor iaitu bedil Lela Majnun, Kendaga Emas, Periuk Emas, dan semua barang-barang berharga.
Dalam usaha untuk mengambil semula Alat Kebesaran dan memerangi Raja Kechil, Satu perjanjian dicapai di antara Tengku Sulaiman dengan Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara. Antara perjanjiannya ialah jika Raja Kechil dikalahkan dan keseluruhan alat kebesaran dan lain lain berjaya dibawa kembali ke Johor maka

“Sebelah Tengku Sulaiman menjadi Sultan Johor sampailah kepada turun temurunnya dan sebelah Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara akan dilantik menjadi Yang Dipertuan Muda sampailah kepada turun temurunnya dan tiada boleh yang lain. Dan lagi Sultan menjadi seperti perempuan sahaja, jika diberi makan maka baru makan ia. Dan Yang Dipertuan muda jadi seperti lelaki, dan jika datang satu hal atau apa2 jua bicara melainkan apa kata Yangtuan Muda”.

Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara sekali lagi menyerang Raja Kechil di Siak. Setelah berjaya mengambil alat kebesaran tersebut, Raja Sulaiman kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan membawa gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang memerintah Johor, Pahang, Riau, dan Linggi pada 4 Oktober 1722 dan Daeng Marewah dilantik menjadi YamTuan Muda 1. Daeng Parani menolak jawatan Yang DiPertuan Muda dan dikahwinkan dengan Tengku Tengah, Daeng Chelak pula dikahwinkan dengan Tengku Mandak, Sultan Sulaiman pula berkahwin dengan Cik Puan Perak dan Daeng Marewah berkahwin dengan Tun Che’ Ayu Balu Sultan Mahmud Mangkat dijulang.

Selangor

Titik mula penguasaan Bugis di Selangor ialah apabila Johor melalui wakilnya di Klang iaitu Tok Engku Klang, kerabat Sultan Abdul Jalil Riayat Shan Johor, memberi mohor kepada Yang Tuan Muda Bugis untuk bergerak bebas di Selangor terutama nya di kawasan Kuala Selangor (1700). Semenjak dari itu, Selangor kemudiannya dijadikan tempat untuk mengumpul dan mengembeling tenaga hulubalang Bugis serta menjadi kubu kuat orang Bugis.
Dalam usaha Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara untuk menewaskan Raja Kechik, mereka telah ke Selangor kerana untuk mengumpul orang Bugis di sana. sebanyak tiga puluh buah perahu perang disediakan untuk menyerang Riau.

Keturunan Opu Daeng Bersaudara iaitu anak kepada Daeng Chelak Raja Lumu telah mengasaskan Kesultanan Selangor dan beliau sendiri menjadi Sultan menggunakan gelaran Sultan Salehuddin. Sebelum itu beliau hanyalah Yang Dipertuan Selangor.

Negeri Sembilan (Linggi)

Semasa Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara berada di Selangor, Raja Kechi telah berjaya menawan kembali Riau. Daeng Menambun dan adik-beradiknya mengaturkan strategi untuk mengalahkan Raja Kechil. Mereka memulakan peperangan di Linggi kerana di sini adalah di bawah pengaruh Raja Kechil. Linggi dikalahkan oleh pakatan Daeng Menambun. Ekoran daripada kekalahan tersebut, penghulu Linggi mengutuskan surat kepada Raja Kechil “Jika tiada lekas duli tuanku berangkat ke Linggi membantu akan patik-patik semua nescaya adalah negeri linggi ini dan patik semua pun bertuankan Bugislah” Selepas Raja Kechil menerima surat tersebut, baginda bersama sama angkatan tentera belayar dan menuju ke Linggi. Selepas pakatan tersebut sampai di Linggi, mereka membina kubu untuk menentang pakatan Daeng Menambun. Akhirnya, peperangan di antara pakatan Daeng Menambun dan Raja Kechil bermula Pada keesokkan harinya, peperangan tersebut berlangsung seperti biasa. Pakatan Daeng Menambun dan adik-beradiknya menjalankan strategi yang dirancang iaitu mengundurkan dua puluh buah perahu perang ke kuala secara perlahan-Iahan. Pakatan yang menjalankan strategi tersebut adalah Daeng Parani, Daeng Marewah dan Daeng Chelak. Pakatan Daeng Menambun dan Daeng Kemasi diberi arahan oleh Daeng Parani untuk menentang pakatan Raja Kechil di sini. Selepas Raja Kechil melihat keadaan tersebut, baginda menyatakan bahawa “Hendak tewas Bugis itu. Ikut olehmu perlahan-Iahan biar ia lari sekali berambus daripada pihak sebelah Johor ini”.Peperangan tersebut berlangsung sehingga malam dan strategi tersebut berjaya dilaksanakan. Keadaan tersebut menyebabkan Raja Kechil dan angkatan tentera baginda bersorak. Raja Kechil menyatakan bahawa “Pada kira kira aku, esok hari kita berperang, pada rasa-rasa aku segala Bugis-Bugis yang tinggal di dalam perahu yang sepuluh buah dan di dalam kubu itu pun tentu dia hendak tunduk kepada kita jua kerana apa sebab jikalau ia bersama-sama dengan upu-upu itu, tentulah ia hilir bersama-sama tadi. Jikalau begitu janganlah kita apa-apakan dahulu mana yang tinggal” . Pada keesokkan harinya, peperangan tersebut tidak memihak kepada pakatan Raja Kechil kerana dikalahkan oleh Daeng Menambun dan Daeng Kemasi bersama-sama angkatan tentera Bugis. Ini disebabkan Raja Kechil ditipu oleh strategi Daeng Menambun dan adik-beradiknya. Pakatan Raja Kechil dikalahkan dan mengundur diri ke kerajaan Siak
Sementara Raja Kechil mengundurkan diri, penghulu Linggi menyatakan kepada anak buahnya “Pasanglah oleh kamu semua bendera putih tanda kita tunduk kepada Bugis bagi mengelakkan peperangan yang akan membawa kerosakan harta benda dan keluarga”. Penghulu linggi berjumpa dengan Daeng Menambun dan Daeng Kamasi bahawa mereka akan taat setia kepada Opu Bugis Lima Bersaudara.

Kedah

Ketika Opu Daeng Parani berada di Selangor, sepucuk surat dikirimkan kepadanya daripada Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adzilin Muadzam Shah II (1710 -1778 M), sultan Kedah tua di mana takhta baginda dirampas oleh adindanya, Raja Nambang Sultan edah Muda. Opu Daeng Parani setelah berbincang dan bermusyawarah dengan adik beradiknya serta mendapat kebenaran dari Sultan Sulaiman, akhirnya bergerak menuju ke Kedah diiringi oleh semua adik beradiknya. Selepas tiba di Kedah, satu perjanjian diadakan iaitu, jikalau menang dengan pertolongan Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara, Sultan Muhammad Jiwa menjanjikan hadiah “Lima Belas Bahara ringgit”. Pihak Sultan Muhammad Jiwa II dan orang Bugis berjaya memenangi pertempuran menentang Raja Nambang pada tahun 1723 tersebut dan dalam perang saudara pertama ini, Opu Daeng Parani dinikahkan dengan Tunku Aishah, saudara kepada Sultan Muhammad Jiwa II sendiri.
Namun pada tahun 1724 M, perang saudara tercetus sekali lagi antara Sultan Muhammad Jiwa II dengan Raja Nambang di Kedah, namun dalam perang kali kedua ini, Raja Nambang meminta bantuan dari Raja Kechil dari Siak manakala Sultan meminta bantuan daripada opu-opu Bugis lima beradik tersebut. Peperangan kali ini berlaku dengan sangat sengit sekali di mana pada siangnya, kubu Raja Kechil dapat ditawan oleh Opu Daeng Parani sehingga Raja Kechil sendiri terjun ke dalam parit bersebelahan kubu tersebut lalu pada sebelah malamnya, Raja Kechil dan tenteranya pula berjaya menawan kubu tersebut.
Pihak Bugis menggunakan kapal ghurab untuk menyerang kedudukan Raja Kechil maka menurut Tuhfat al Nafis, ketika dalam pengepungan tersebut, Opu Daeng Parani sedang berada di atas beranda kapal ghurab tersebut dan mengarahkan tenteranya untuk membedil kubu Raja Kechil dengan meriam. Maka dalam ketika itu dengan takdir Allah, pihak musuh dengan meriam mereka berjaya menembak Opu Daeng Parani dan bola meriam tersebut tepat kena pada dadanya. Opu Daeng Parani terkorban akibat tembakan meriam tersebut. Jenazah Opu Daeng Parani akhirnya dimakamkan di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, Sungai Petani di Kedah Darul Aman.

Perak

Sepucuk surat daripada Raja Muda Perak yang bernama Raja Inu diutuskan kepada Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Marewah di Riau untuk meminta bantuan supaya dapat menggulingkan pemerintahan Sultan Alauddin Mughayat Shah (1720 -1728), dan pada tahun 1728 itulah, Opu Daeng Marewah dan tenteranya dari Selangor bergerak menuju ke Bernam untuk menyerang pusat pentadbiran Sultan Perak pada masa itu di Geronggong (berhampiran Kampung Gajah kini).
Walaupun Geronggong berjaya ditawan oleh Opu Daeng Marewah, perjanjian damai telah dibuat di antara kedua dua pihak dan pada tahun sama juga, baginda Sultan Alauddin Mughayat Shah mangkat. Raja Inu ditabalkan sebagai Sultan Perak dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah III. Baginda Sultan Muzaffar Shah III ini kemudiannya bakal ditentang oleh Raja Mudanya sendiri yang akhirnya mendapatkan bantuan Bugis, sepertimana apa yang baginda berbuat benda yang sama dahulu terhadap sultan sebelumnya.

Pada 7 September 1740 Masihi, Opu Daeng Chelak berada di Selangor dan mendapat sepucuk surat yang diutus daripada Raja Muhammad Shah (Raja Muda Perak) yang meminta Yang Dipertuan Muda berketurunan Bugis tersebut menolong pihaknya merampas takhta daripada Sultan Muzaffar Shah III (Raja Inu). Opu Daeng Chelak kemudiannya mengumpulkan serta membawa angkatan tentera Bugisnya dari Selangor menuju ke Perak untuk membantu Raja Muda tersebut serta menyambung kembali peranan Opu Daeng Marewah yang pernah terlibat dalam Perang Saudara Perak sebelum itu.
Peperangan terjadi di antara pihak Sultan Muzaffar III dan Raja Muda Muhammad Shah dan setelah beberapa lama, pihak Raja Muda menang dalam pertempuran tersebut dan Sultan Muzaffar III berundur ke Sayong. Opu Daeng Chelak bersama majoriti para pembesar Perak lainnya menyokong dan menabalkan Raja Muda Muhammad sebagai Sultan Perak keempat belas,dengan gelaran Sultan Muhammad Shah (1744 – 1750). Kesultanan Perak pada masa tersebut berpecah kepada dua. Namun Sultan Muhammad Shah kemudiannya berbaik semula serta menyerahkan kedudukan baginda kepada Sultan Muzaffar III selepas Opu Daeng Chelak pulang ke Riau pada tahun 1745

Rumusan

Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara;

1. Berpegang kuat kapada budaya “Siri” (Siri Emmi Ri Onroang Ri Lino dan Mate ri sirina) dan “Hujung” . Mereka mengamalkan konsep menolong kepada yang memerlukan pertolongan dan akhirnya diberikan ganjaran yang ada ketikanya berlebihan hingga dilantik sebagai sultan dik kerana ketinggian dan kelebihan nilai nilai murni yang ada pada mereka. Mereka sering ditawar mengahwini puteri pembesar negeri sebagai membalas jasa dan sebagai untuk mengikat siratulrahim kekeluargaan.

2. Tidak ujud dalam jiwa mereka sifat sifat seperti dengki dan terlalu mementingkan diri sendiri (bersifat egois). Sejarah telah membuktikan bahawa Opu-Opu Daeng Lima bersaudara ini dapat mencapai pengaruh politik yang besar di Nusantara, dengan semangat kekeluargaan yang kukuh dan saling bantu membantu. Dalam membuat satu keputusan, mereka akan berbincang sesama mereka dan mencapai persetujuan dan kesepakatan dalam sesuatu perkara, bukannya mengambil tindakan sendiri secara melulu. Kelima-lima mereka saling memerlukan dan melengkapkan antara satu sama lain dan itulah peranan adik beradik dalam sesuatu keluarga yang harmon. samping sifat keberanian, kegigihan serta kebijaksanaan mereka.

Rujukan rujukan;
1. Kitab Tuhfat an-nafis
2. Salasilah Melayu dan Bugis Raja Ali Haji
3. Winstedt R.O (1934), A History of Selangor, JMBRAS. Vol.XII, Pt, III, h. 3
4. Studentsrepo.um.edu.my/905/5/BAB_2.pdf
5. Jelaskan Pengaruh Bugis Di Negeri Negeri Melayu Pada Abad ke 15 – Amirah Hamzah
6. Lima OPU Daeng http://blog.unm.ac.id/diancahyadi/tulisan-saya/lima-opu-daeng/

Kredit

Artikel disumbangkan oleh:
Professor Madya Mustafa Bin Yusof
Yang DiPertua PWBPNS

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑